Tuesday, May 31, 2016

Bahan-bahan Lempeng

Tarikh: 18hb Mei 2016
Kelas: Delima
Guru: Cikgu Kok
Topik: Makanan
Masa: 4pm - 5.30pm

  • Hari itu mereka meminta untuk memasak penkek. Selepas membuat pencarian di atas talian, rupa-rupanya nama penkek itu adalah dipanggil lempeng.
  • Ada banyak jenis lempeng, yang paling banyak dijumpai di atas talian adalah lempeng pisang. Biasanya dimakan dengan sambal atau kari.
  • Walaubagaimanapun, lempeng yang akan kami masak esok adalah lempeng tepung, iaitu lempeng kosong dan dimakan dengan madu dan mentega.
  • Bahan-bahan lempeng:
    • tepung gandum
    • susu
    • telur
    • air
    • minyak/mentega
  • Cara masak:
    • Campurkan semua bahan.
    • Campuran yang cair akan mendapat lempeng yang nipis. Manakala yang pekat akan mendapat lempeng yang tebal.
    • Sapukan minyak/mentega di kuali lempeng.
    • Tuangkan sedikit campuran ke dalam kuali dan ratakan dengan sudu/senduk.
    • Tunggu sehingga campuran tepung sudah menjadi lempeng dan tidak lekat atas kuali, terbalikkan lempeng untuk memasak permukaan atas.
    • Apabila sudah masak, keluarkan untuk dihidang.
  • Selepas penerangan, saya menunjukkan video masak lempeng.

Kad Bergambar

Tarikh: 17hb Mei 2016
Kelas: Delima
Guru: Cikgu Kok
Topik: Makanan
Masa: 5pm - 5.30pm

  • Hari ini mereka ada kelas wushu. Jadi, hari ini saya hanya mengajar mereka perkataan yang baru.
  • Saya telah membawakan kad-kad besar yang mempunyai gambar-gambar barangan di dalam kelas, seperti meja, kerusi, papan putih, dan lain-lain lagi.



Mi

Tarikh: 16hb Mei 2016
Kelas: Delima
Guru: Cikgu Kok
Topik: Makanan
Masa: 4pm - 5.30pm

  • Baca petikan "Mi".
  • Saya tanya siapa yang suka makan mi. Ramai yang angkat tangan.
  • Apabila tanya jenis mi yang mereka suka makan, ada macam-macam jawapan. Seperti "mi goreng", "mi sup", "wantan mee" dan lain-lain lagi.
  • Saya tanya adakah mereka pernah makan "mi bandung", "mi hailam", dan "pan mee". Mereka semua geleng kepala dan cakap tak pernah dengar semua makanan ini. haha...



Friday, May 27, 2016

Penkek

Tarikh: 13hb Mei 2016
Kelas: Delima
Guru: Cikgu Kok
Topik: Makanan
Masa: 4pm - 5.30pm

  • Mereka sangat suka nasi lemak yang mereka makan semalam. Mereka mula tanya makanan yang akan kami buat seterusnya.
  • Sebelum saya bagi mereka membuat pilihan dahulu, kami mengulangkaji nama-nama bahan nasi lemak.
  • Antara makanan yang terpilih termasuk
    • tosai
    • putu mayam
    • penkek
  • Selepas membuat undian, kebanyakan mereka telah memilih penkek.
  • Saya membuat sedikit penerangan tentang penkek dan bahan-bahan untuk memasak penkek.

Masak Nasi Lemak

Tarikh: 12hb Mei 2016
Kelas: Delima
Guru: Cikgu Kok
Topik: Makanan
Masa: 4pm - 5.30pm

  • Hari ini kami memasak nasi lemak. Disebabkan masa yang singkat, saya takut tidak cukup masa mahu masak nasi semasa kelas. Jadi, sebelum kelas, saya telah tunjukkan mereka cara untuk memasak nasi lemak.
  • Semasa kelas, saya potongkan timun dan tunjukkan mereka apa yang boleh mereka buat untuk menghiaskan mangkuk mereka nanti.
  • Mereka pula mengopek kulit telur. Tukang masak sudah menolong kami rebuskan telur pada pagi ini.
  • Selepas mengopek kulit telur, mereka memotong telur separuh.
  • Akhirnya, mereka boleh mula mengambil nasi dan bahan-bahan sampingan, ada antara mereka yang mengambil sambal. Lepas itu, bermulalah mereka menghiaskan mangkuk mereka.















Monday, May 23, 2016

Nasi Lemak

Tarikh: 11hb Mei 2016
Kelas: Delima
Guru: Cikgu Kok
Topik: Makanan
Masa: 4pm - 5.30pm

  • Hari ini kami belajar tentang makanan Malaysia - Nasi Lemak.
  • Definasi lemak biasanya maksudnya berminyak. Tetapi nasi lemak ini bukannya berminyak, tetapi berkrim disebabkan santan.
  • Nasi lemak telah diiktiraf salah satu daripada 10 sarapan antarabangsa yang paling sihat oleh majalah TIME. Walaupun nasi lemak adalah berlemak, tetapi ia adalah yang sarapan yang seimbang kerena ia mengandungi pelbagai nutrisi seperti protein dan karbohidrat. Manakala kandungan cili sambal pula boleh membantu meningkatkan metabolisme. (TIME Magazine)
  • Nasi lemak adalah sarapan yang diminati kebanyakan rakyat Malaysia. Kanak-kanak pun sangat suka akan nasi lemak, walaupun kebanyakan mereka makan tanpa sambal cili.
  • Esok akan kami memasak nasi lemak di dalam kelas.
  • Sebelum kelas tamat, saya bacakan buku cerita "Apabila Saya Sakit".
  • Buku cerita ini menceritakan macam mana ibu watak utama menjaganya apabila dia sakit.

Pantun Marathon

Tarikh: 10hb Mei 2016
Kelas: Delima
Guru: Cikgu Kok
Topik: Makanan
Masa: 5pm - 5.30pm

  • Hari ini mereka ada kelas wushu, jadi kelas mereka pada hari ini hanya ada setengah jam.
  • Justeru itu, kami pun berpantun hari ini.
  • Selepas sudah habis berpantun, saya menyuruh mereka cuba membaca 2 pantun terus-beterusan. Ini sebenarnya adalah sangat susah untuk mereka. Kebanyakan mereka tidak dapat sambungkan pantun kedua. Hanya seorang dua sahaja yang ingat dan dapat menyambungi pantun yang kedua itu.

Friday, May 20, 2016

Makanan - Berkhasiat / Tidak Berkhasiat

Tarikh: 9hb Mei 2016
Kelas: Delima
Guru: Cikgu Kok
Topik: Makanan
Masa: 4pm - 5.30pm
  • Saya tunjukkan mereka bab "Makanan" di dalam buku "Saya Pandai Membaca", untuk menunjukkan mereka makanan yang berkhasiat dan tidak/kurang berkhasiat.
  • Antara makanan yang berkhasiat ditunjukkan dalam buku adalah buah-buahan dan sayur-sayuran. Buah-buahan seperti oren, epal, betik, tembikai dan lain-lain lagi. Sayur-sayuran pula seperti bendi, sawi, terung, tomato dan lain-lain lagi.
  • Kebanyakan mereka suka juga makan buah-buahan dan sayur-sayuran.
  • Selepas itu, saya pula tunjukkan mereka satu muka surat yang mempunyai beberapa makanan yang tidak atau kurang berkhasiat, seperti biskut, roti, aiskrim, dan coklat. "Siapa suka makan makanan ini?" saya tanya. Kali ini ramai yang angkat tangan dengan teruja. haha... Makanan ini memang sedap, tetapi disebabkan makanan ini tidak berkhasiat, jadi kena kurangkan mengambil makanan ini.

Membakar Kek Hari Ibu

Tarikh: 6hb Mei 2016
Kelas: Delima
Guru: Cikgu Kok
Topik: Makanan
Masa: 4pm - 5.30pm

  • Akhirnya, sudah sampai masa untuk membuat kek untuk hari ibu. Kanak-kanak semua sangat beruja. Cikgu Ng (黄老师) tunjukkan pada mereka dan mengajar mereka cara untuk membuat kek mentega buah-buahan.
  • Semasa membuat persediaan, mereka bergilir-gilir menolong Cikgu Ng untuk memasukkan bahan-bahan dan juga kacaukan campuran tepung dengan bahan-bahan lain.
  • Apabila semua sudah siap dan dimasukkan ke dalam cawan kek, mereka boleh masukkan buah-buahan sendiri sebelum diberikan kepada Cikgu Ng untuk dimasukkan ke dalam ketuhar.
  • Selepas dibakar selama 20 minit, kek mereka sudah siap dan mereka menghiaskan kek mereka dengan coklat dan bahan-bahan hiasan kek, sebelum dimasukkan ke dalam beg plastik yang cantik.






Thursday, May 19, 2016

Jenis Roti Kedai Mamak

Tarikh: 5hb Mei 2016
Kelas: Delima
Guru: Cikgu Kok
Topik: Makanan
Masa: 4pm - 5.30pm

  • Pada kelas kelmarin, dalam pantun baru ada roti canai dan nasi lemak. Kanak-kanak semua tahu dan suka makan roti canai. Justeru itu, saya pun memperkenalkan sedikit tentang jenis roti yang boleh didapati di kedai mamak.
  • Di kedai mamak, roti canai ada banyak perisa. Roti canai yang kebanyakan mereka tahu adalah roti canai biasa ataupun biasanya dipanggil roti kosong. Tetapi sebenarnya selain daripada roti kosong, ada lagi banyak pilihan lain seperti roti telur, roti telur bawang, roti pisang, roti tisu, dan sebagainya.
  • Apabila saya senaraikan beberapa perisa roti canai, ada di kalangan mereka pernah rasa perisa yang lain. Walaubagaimanapun, kebanyakan mereka tidak pernah dengar ataupun mengetahui ada pilihan lain.
  • Selain daripada roti canai, ada lagi tosai, capati, roti arab, roti nan, dan lain-lain lagi. Antara jenis roti selain daripada roti canai yang telah saya sebutkan, hanya seorang sahaja yang pernah dengar dan makan tosai. Mereka semua tidak pernah dengar ataupun makan jenis roti yang lain.
  • Tosai - kurang minyak dan saiz lebih besar berbanding dengan roti canai. Capati - roti tanpa minyak dan saiznya lebih kecil daripada roti canai. Roti nan - roti yang lebih tebal dan besar berbanding dengan roti canai. Cara masak pun tidak sama dengan roti canai, tosai, dan capati.
  • Semua jenis roti ini biasanya dimakan dengan mencecahkan kuah pelbagai jenis, seperti dhal, sambal, kari dan lain-lain lagi.
  • Akhirnya, sebelum kelas tamat, saya memperkenalkan bahan-bahan yang diperlukan untuk membakar kek pada keesokan harinya.
    • Tepung gandum
    • Susu
    • Gula aising
    • Telur
    • Mentega
    • Serbuk penaik
    • Buah-buahan campuran
    • Cawan kertas


Tuesday, May 17, 2016

Pilih Tema - Makanan

Tarikh: 4hb Mei, 2016

Kelas: Delima
Guru: Cikgu Kok

Topik: Hari Ibu
Masa: 4pm - 5.30pm


  • Kek untuk Hari Ibu akan kami bakarkan pada Jumaat ini.
  • Hari ini kami bermula dengan berpantun. Mereka telah belajar beberapa pantun sebelum ini, kami mengulangkaji hari ini.
  • Selepas itu, saya telah memilih pantun yang mempunyai ahli keluarga sebagai sambungan "Keluarga Saya" yang mereka pelajari kelmarin.
Semut putih si anai-anai
Anak ungka di dalam semak
Ayah pilih roti canai
Emak suka nasi lemak

  • Mereka menjadi bersemangat apabila mereka dengar roti canai dan nasi lemak. haha... Justeru itu, saya pun tanya mereka kalau mereka mahu pilih tema makanan sebagai tema pertama mereka. Mereka semua angguk kepala dengan laju, sekali dengan angkat tangan!

Monday, May 16, 2016

Hari Ibu

Tarikh: 3hb Mei, 2016

Kelas: Delima
Guru: Cikgu Kok

Topik: Hari Ibu
Masa: 5pm - 5.30pm


  • Hari ini hari pertama untuk kelas tematik Bahasa Malaysia. Sempena Ahad ini adalah Hari Ibu, jadi kami mulakan kelas kami dengan topik Hari Ibu.
  • Saya ajar mereka mengucapkan "Selamat Hari Ibu" pada ibu.
  • Hari ibu adalah Ahad kedua pada bulan Mei.
  • Saya suruh mereka pilih hadiah yang mereka inginkan menyediakan untuk Hari Ibu. Mereka telah memilih kek. Jadi, minggu ini kami akan membuat kek.
  • Selepas itu, saya ajar mereka "Keluarga Saya" - gelaran untuk setiap ahli keluarga.
    • Bapa/ayah/papa/baba
    • Ibu/emak/mama/bonda
    • Nenek/opah
    • Datuk/atuk
    • Abang
    • Kakak
    • Adik perempuan/lelaki